Skuad Nidzam Jamil Sambar Pemenang Liga Juara-Juara AFC
Hafiz Omar

Negeri Sembilan FC bimbingan Nidzam Jamil menutup jendela perpindahan pertengahan musim dengan menyambar pemenang Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 dan pemain Liga J1 iaitu Yuichi Hirano.
Kedatangan Hirano yang berusia 29 tahun dikongsikan oleh Negeri Sembilan FC menerusi hantaran di pelbagai akaun media sosialnya pada Isnin – sehari selepas jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia ditutup.
Menerusi hantaran itu, Negeri Sembilan FC berjulukan The Jangs menjelaskan pengalaman pemain kelahiran Jepun berketinggian 1.75 meter (m) yang beraksi di kancah tertinggi bola sepak asia diharapkan menjadi nadi penting di bahagian tengah disamping memperkukuhkan keseimbangan skuad bagi menghadapi baki saingan musim ini.
“Kehadiran Yuichi Hirano melengkapkan perancangan pasukan dalam membina skuad yang lebih berdaya saing. Pengalaman dan kematangan beliau diharap mampu memberi impak positif, bukan sahaja di atas padang, malah dalam pembangunan keseluruhan pasukan.” tulis kenyataan kelab.
Pada masa yang sama, kedatangan Hirano menjadi cerminan kepada perancangan yang digariskan Negeri Sembilan FC pada jendela perpindahan pertengahan musim yang berhasrat memburu pemain berpengalaman dan berkepimpinan.
Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya Hirano meninggalkan negara kelahirannya dan berkelana ke luar negara sejak memulakan karier bola sepaknya dengan Kelab Bola Sepak Universiti Kokushikan diikuti dengan Mito HollyHock, Urawa Red Diamonds dan Cerezo Osaka.
Sebagai tambahan, Hirano menjadi pemain import kelima yang ditandatangani oleh Negeri Sembilan FC sepajang jendela perpindahan pertengahan musim selepas mengikat Amirul Adli (Singapura), Anuar Ceesay (Malaysia-England-Gambia), Kei Oshiro (Jepun) dan Oday Kharoub (Palestin).
Featured Image: Negeri Sembilan FC