BATC: Skuad Wanita Tewas 1-4 Di Tangan China
Hafiz Omar

Skuad wanita negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dengan langkah kiri apabila tewas di tangan tuan rumah, China.
Pertemuan peringkat Kumpulan W itu bermula dengan taruhan pertama negara iaitu Letshanaa Karupathevan tewas di tangan Han Qian Xi secara dua set berturut-turut menerusi skor 18-21 dan 10-21 dalam masa 40 minit.
Kekalahan Letshanaa buat kali kelima berturut-turut bertemu Qian Xi di pelbagai kejohanan antarabangsa itu sekaligus menyebabkan Malaysia ketinggalan 0-1 pada perlawanan pertama.
Perlawanan berikutnya, Malaysia yang menurunkan Ong Xin Yee dan Carmen Ting mengalami nasib yang sama apabila pasangan beregu wanita No.3 negara itu tewas 10-21 dan 8-21 kepada pasangan No.4 dunia, Jia Yi Fan dan Zhang Sgu Xian.
Malaysia terus ketinggalan di set ketiga apabila taruhan ketiga, Wong Ling Ching turut sama tidak dapat mengatasi lawannya yang berada di ranking ke-127 dunia, Xu Wen Jing dan tewas menerusi skor 14-21 dan 7-21.
Namun begitu, pada set keempat, Malaysia berhasil mengutip satu-satunya mata dalam pertarungan ini apabila Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah yang berada di ranking ke-288 dunia mengejutkan Luo Yi dan Wang Ting Ge menerusi skor 13-21, 21-18 dan 21-17 dalam masa satu jam dan lima minit.
Pada set terakhir, Malaysia mengalami satu lagi kekalahan susulan Shan Zi tewas kepada Yuan An Qi menerusi skor 11-21 dan 11-21 pada pertemuan sulung mereka.
Walaupun merekodkan kekalahan 1-4, skuad wanita negara telah mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir memandangkan Kumpulan W hanya dibarisi China dan Malaysia sahaja – dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke peringkat kalah mati.
Featured Image: Badminton Asia