Indonesia, India Antara 6 Pembida Piala Asia 2031

February 4, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan sebanyak enam pembida tampil untuk merebut penganjuran Piala Asia AFC 2031 yang merupakan edisi ke-20 kejohanan bola sepak paling berprestij di benua asia.

Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini, enam pembida itu terdiri daripada Persekutuan Bola Sepak Australia, Persekutuan Bola Sepak Seluruh India, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia,  Persatuan Bola Sepak Korea dan Persatuan Bola Sepak Kuwait.

Sementara itu, tiga badan induk di negara-negara asia tengah merangkumi Kesatuan Bola Sepak Kyrgyz, Persekutuan Bola Sepak Tajikistan dan Persatuan Bola Sepak Uzbekistan tampil sebagai pembida bersama.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu yang juga merupakan tuan rumah Piala Asia AFC 2019 menyatakan minat untuk membida namun telah menarik diri.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, AFC mengumumkan sebanyak empat pihak menyatakan minat untuk menganjurkan Piala Asia 2035 – Persekutuan Bola Sepak Australia, Persatuan Bola Sepak Jepun, Persatuan Bola Sepak Korea dan Persatuan Bola Sepak Kuwait.

Featured Image: AFC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd