SHAKAM: Hoe Yean, Cheong Min Terima Insentif Tertinggi
Hafiz Omar

Perenang negara, Khiew Hoe Yean muncul sebagai atlet lelaki yang menerima insentif tertinggi daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan jumlah sebanyak RM32,000.
Hoe Yang, 23 tahun, menerima insentif itu selepas membawa pulang dua pingat emas dalam acara individu 200 meter (m) gaya bebas dan 400m gaya bebas, pingat perak acara 2x400m gaya bebas berganti-ganti serta pingat gangsa acara 4x100m gaya bebas berganti-ganti di Sukan SEA Thailand 2025.
Sementara itu, ratu wushu negara, Tan Cheong Min pula muncul sebagai atlet wanita yang meraih insentif SHAKAM tertinggi dengan jumlah RM26,666.67 hasil memenangi pingat emas menerusi acara individu gabungan disiplin nanquan, nandao dan nangun selain membantu skuad negara meraih kilauan emas menerusi acara duilian bersenjata berpasukan wanita.
Insentif itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Taufiq Johari dalam satu majlis yang berlangsung di Palace of Golden Horses, pada hari ini. Dalam majlis yang sama, kedua-duanya turut dinobatkan sebagai atlet terbaik Malaysia pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.
Secara keseluruhan, Majlis Sukan Negara (MSN) mengagihkan RM2.65 juta insentif SHAKAM kepada atlet-atlet daripada 46 jenis sukan berdasarkan pencapaian pada temasya dwitahunan yang berlangsung pada Disember tahun lalu.
Sukan hoki mencatatkan jumlah agihan tertinggi dengan nilai sebanyak RM316,800 menerusi acara hoki padang, dalam dewan dan 5-sebelah.
Untuk makluman, Kontinjen Negara menutup kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan rekod kutipan 57 butir pingat emas, 57 butir pingat perak dan 117 butir pingat gangsa.
Featured Image: Majlis Sukan Negara