Abdul Halim Terima RM62,000 Daripada SHAKAM
Hafiz Omar

Perenang para lelaki negara, Abdul Halim Mohammad yang merangkul lima keping pingat emas serta sebutir perak dan gangsa masing-masing di Sukan Para ASEAN (APG) 2025 menerima insentif bernilai RM62,000 secara keseluruhan.
Atlet berasal dari Sabah itu menerima insentif lumayan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dalam satu majlis yang berlangsung di Palace of Golden Horses, pada hari ini.
Dalam majlis yang sama, perenang para wanita negara, Carmen Lim pula membawa pulang insentif bernilai RM39,000 hasil mengutip dua kilauan pingat emas, empat perak dan satu gangsa daripada temasya yang sama.
Pada temasya APG 2025 yang berlangsung dari 20hb hingga 26hb Januari lalu bertempat di Nakhon Ratchasima, Kontinjen Malaysia, menamatkan kempen dengan kutipan 64 pingat emas, 64 perak dan 73 gangsa sekaligus mengumpul 201 pingat.
Secara keseluruhannya, SHAKAM memberikan insentif bernilai RM1.78 juta sebagai penghargaan kepada kesemua atlet-atlet yang mengutip pingat serta memecahkan rekod kejohanan di sepanjang temasya berkenaan.
Featured Image: Majlis Sukan Negara