BATC: Korea Singkir Skuad Wanita Malaysia Di Suku Akhir

February 6, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Perjalanan skuad wanita Malaysia di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 menemui titik noktahnya setakat peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 di tangan Republik Korea.

Episod kekalahan itu bermula dengan taruhan pertama, Letshanaa Karupathevan tewas di tangan perseorangan wanita No.1 dunia, An Se Young menerusi skor 11-21 dan 11-21 dalam masa 36 minit.

Keputusan itu membuatkan Malaysia ketinggalan 0-1 seusai tamatnya perlawanan pertama.

Beralih kepada perlawanan kedua, Malaysia terus ketinggalan apabila gandingan Ong Xin Yee dan Carmen Ting tewas kepada “scratch pair” membabitkan Baek Ha-na dan Kim Hye-jeong. 

Perlawanan itu berakhir dengan Xin Yee-Carmen tewas menerusi skor 13-21 dan 9-21 dalam masa 40 minit.

Set seterusnya, Malaysia sah tersingkir daripada kejohanan ini apabila taruhan ketiga skuad negara, Wong Ling Ching turut sama mengalami kekalahan menerusi skor 16-21 dan 12-21 di tangan Park Ga Eun.

Korea yang melakar kemenangan akan bertembung Indonesia di peringkat separuh akhir. Terdahulu, Indonesia mara susulan mengalahkan Thailand dengan keputusan 3-2.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd