3 Pemain Baharu Sertai Kuching City FC

February 6, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penghuni tangga ketiga Liga Super, Kuching City FC bertindak menambah tiga pemain baharu ketika jendela perpindahan pertengahan musim bagi meningkatkan keupayaan pasukan menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2025-26.

Salah seorang pemain yang ditandatangani oleh skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu ialah Jerome Mpacko Etame, 29 tahun, yang beraksi di posisi penyerang.

Jerome yang berasal dari Cameroon tiba di bumi Kenyalang selepas meninggalkan Al-Ahed yang bersaing dalam kancah bola sepak Lubnan.

Tempoh pendek bersama kelab berkenaan menyaksikan Jerome yang berketinggian 1.87 meter (m) itu sempat tampil sebanyak sepuluh kali selain merekodkan dua jaringan gol serta satu bantuan gol.

Sementara itu, skuad berjulukan The Cats turut memperkukuhkan barisan tengahnya dengan mengikat khidmat bekas pemain PDRM FC dari Jordan iaitu Ahmad Nawaf Abdel Aziz Israiwah.

Pemain berusia 32 tahun itu menyertai Kuching City FC selepas merekodkan 13 penampilan bersama PDRM FC dan mencipta satu bantuan gol.

Terakhir, Kuching City FC mendapatkan khidmat bekas pemain yang pernah dibimbing Aidil Sharin ketika bersama-sama berkhidmat untuk Kedah Darul Aman FC, Ariff Farhan.

Pemain berusia 29 tahun yang mampu beraksi sebagai bek kiri dan bek kanan itu memilih untuk bergabung dengan Kuching City FC selepas kurang mendapat tempat bersama Penang FC sepanjang musim ini.

Featured Image: Kuching City FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd