MSN, Institut Sukan Hong Kong Meterai MoU Selama 3 Tahun

February 10, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Hong Kong (HKSI) secara rasminya menjalin kerjasama strategik pada hari ini setelah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam sukan berprestasi tinggi dan bidang professional berkaitan.

Perjanjian bertempoh selama tiga tahun itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dan Ketua Eksekutif HKSI, Tony Choi sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Bimol.

MoU itu menyediakan kerangka kerja yang tersusun untuk kolaborasi antara MSN dan HKSI, mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memajukan kecemerlangan sukan melalui kerjasama antarabangsa.

Perjanjian ini menumpukan kepada memperkukuhkan sistem yang menyokong prestasi atlet elit, pembangunan profesional dan kapasiti insitusi.

“Pembangunan sukan dan atlet Hong Kong sudah jauh kehadapan, sebab itu kita memerlukan kolaborasi ini untuk memanfaatkan satu sama lain, meningkatkan (tahap) sukan dan atlet kita jugalah,” kata Mordi kepada pengamal media selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut. 

Antara bidang kerjasama utama terhasil daripada MoU ini adalah penyelidikan kolaboratif melibatkan sains sukan dan perubatan sukan, pertukaran kepakaran dan perkongsian amalan terbaik dalam latihan berprestasi tinggi dan teknologi prestasi, inisiatif pembinaan kapasiti melibatkan atlet, jurulatih, staf sokongan dan pegawai teknikal.

Selain itu, MoU ini turut menggalakkan penyertaan bersama persidangan, seminar, bengkel dan platform profesional lain-lain untuk mempromosi perkongsian pengetahuan dan inovasi.

Dimaklumkan, menerusi MoU ini, Malaysia akan mendapat manfaat dalam jenis sukan lawan pedang, pelayaran dan sukan tempur sementara Hong Kong pula akan mempelajari mengenai sukan badminton, skuasy, boling, olahraga dan wushu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd