Malaysia Sasar Juara Kejohanan Bola Jaring Asia 2026

February 11, 2026
Bola Jaring

Hafiz Omar

Selepas berjaya membutirkan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut di temasya Sukan SEA di penghujung tahun lalu, kini, skuad bola jaring kebangsaan mengalihkan tumpuannya untuk merangkul gelaran juara di Kejohanan Bola Jaring Asia 2026.

Kejohanan dwitahunan itu dijadualkan berlangsung dari 7hb hingga 15hb Ogos kelak bertempat di Hong Kong.

Sasaran untuk bergelar juara itu dilaungkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM) merangkap Presiden Persatuan Bola Jaring Johor, YB Alwiyah Talib.

“Selalunya kalau (peringkat) asia ni, kita ni (kelompok) tiga terbaiklah. Kalau boleh kita nak jadi juaralah.” katanya ketika ditemui di Klinik Netball Super League (NSL) yang berlangsung di Malaysia National Ice Skating Stadium (MyNISS) pada hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau melihat Singapura selaku cabaran utama yang perlu dihadapi Malaysia bagi meraih gelaran terbabit.

Bagaimanapun, Alwiyah menaruh kepercayaan yang tinggi untuk bergelar juara sekiranya Malaysia dapat melakukan persiapan dengan lebih awal selain pemain-pemain dapat mengekalkan momentum dan prestasi masing-masing ketika bersaing di NSL 2026 yang akan bermula 17hb April nanti.

“PJBM sudah mengenal pasti jurulatih, pengurus dan sebagainya (serta) pemain-pemainnya. Saya difahamkan kita akan mula (kem) latihan awal di masa bulan puasa nanti.” kongsinya.

Pada edisi lalu yang berlangsung di India, Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Bola Jaring Asia 2024 setakat peringkat separuh akhir selepas tewas di tangan Singapura dengan keputusan 46-54.

Sebagai rekod, Malaysia pernah bergelar juara di kejohanan tersebut pada edisi 1985 dan 2016.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd