Aidil Beri Masa Palmero Sesuaikan Diri, Cipta Keserasian
Hafiz Omar

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan ambil risiko menurunkan Gabriel Palmero bagi memberi ruang buat pemain berusia 24 tahun itu menyesuaikan diri dan membentuk keserasian dengan rakan sepasukan.
Bek kiri kelahiran Sepanyol itu menjadi senjata baharu untuk Kuching City FC pada jendela perpindahan pertengahan musim baru-baru ini. Dimaklumkan, pemain yang ditarik seketika hukuman gantung oleh badan induk bola sepak dunia itu telah menjalani latihan bersama pasukan sejak Selasa.
Namun begitu, Aidil memberikan bayangan untuk tidak menurunkan khidmat Palmero dalam perlawanan seterusnya, aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini.
“Kita kena bersabar sebab dia pun baru sahaja mula latihan semalam (Selasa), jadi baru satu hari dia bersama kami sebenarnya.”
“Jangan kita lupa yang dia (Palmero) pun sebenarnya dah lebih kurang 4 bulan tak bermain dalam aksi kompetitif selepas kami ada berborak semalam.”
“Jadi kita kena hati-hati sebab nak elak kecederaan juga, kita tidak mahu dia datang dengan kualiti yang tinggi dan selepas itu ada kecederaan berlaku, jadi biarlah dia menyesuaikan diri dan dapat keserasian dahulu.”
“Terutamanya daripada segi formasi dan taktikal dalam latihan kerana sudah tentu ia berbeza sewaktu dia di Sepanyol dan waktunya akan tiba untuk beraksi nanti,” katanya.
Kehadiran Palmero dilihat akan beri persaingan sengit kepada bek kiri lain seperti Scott Woods. Bagi Aidil, ianya menjadi motivasi tambahan buat pemain-pemain untuk berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Ini ialah strategi dan pelan saya juga sebab saya tidak mahu pemain lain terus rasa selesa sebab di sini segalanya adalah tentang kerja keras untuk mereka berusaha merebut tempat.”
“Tapi saya gembira sebab setakat ini semua pemain saya memang tidak pernah pun rasa cepat selesa dan mereka tahu peranan masing-masing.”
“Ditambah pula, saya dapat tengok Palmero bukan sahaja boleh main di bek kiri, sebab saya ada cuba letak dia di bek kanan dan dia nampak selesa juga di posisi itu, jadi ini adalah petanda yang baik untuk pasukan,” tambahnya.
Kuching City FC yang kini mendahului dengan agregat 3-1 akan menerima kunjungan DPMM FC pada Sabtu di Stadium Negeri dalam misi merebut slot ke separuh akhir Piala Malaysia.