Tuchel Lanjut Kontrak Sehingga EURO 2028
Hafiz Omar
Skuad bola sepak kebangsaan England akan terus dikendalikan oleh jurulatih kelahiran Jerman, Thomas Tuchel sehingga kejohanan EURO 2028 di United Kingdom (UK) dan Ireland.
Perkembangan itu hadir susulan pengendali berusia 52 tahun berkenaan melanjutkan kontrak bersama skuad berjulukan Three Lions sehingga tahun 2028.
“Setelah membimbing Three Lions dengan rekod tanpa kalah dalam kelayakan bagi Piala Dunia FIFA akan datang di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, Tuchel telah bersetuju untuk kekal sebagai ketua jurulatih bagi tempoh dua tahun lagi,” tulis kenyataan oleh England Football.
“England tidak bolos sebarang gol dalam kempen yang penuh kejayaan itu, menjaringkan 20 gol dan kini diletakkan dalam kelompok lima terbaik dunia selama tujuh setengah tahun.” tambah kenyataan itu lagi.
Dimaklumkan, barisan staf kejurulatih di bawah Tuchel iaitu Anthony Barry, Henrique Hilario, Nico Mayer dan James Melbourne juga menandatangani kontrak baharu sehingga musim panas 2028.
Sebagai rekod, Tuchel mula bertugas sebagai ketua jurulatih England pada 1hb Januari 2025 selepas pihak Football Association (FA) dengan pelantikan pengumumannya dilakukan sekitar pertengahan Oktober 2024.
Tambah pihak FA lagi, perjanjian baharu bersama Tuchel dan barisan kejurulatihannya akan memastikan kejelasan dan tumpuan penuh skuad di dalam padang untuk skuad England di Piala Dunia pada musim panas nanti.
Untuk makluman, England telah diundi dalam Kumpulan L dalam Piala Dunia 2026 kelak bersama-sama Croatia, Ghana dan Panama.
Featured Image: England Football Team