NSL EmpowerHER 2026 Tarik Penyertaan Hampir 70 Peserta

February 13, 2026
Bola Jaring

Hafiz Omar

Bersempena dengan pembukaan liga bola jaring profesional terunggul di Malaysia, Netball Super League (NSL) untuk musim kelima tidak lama lagi, Astro Arena dan Astro Kasih tampil menganjurkan satu program yang penuh inspirasi dan semangat kewanitaan iaitu NSL EmpowerHER 2026.

Program yang menarik pembabitan hampir 70 orang peserta daripada pelbagai kelab dan akademi bola jaring yang aktif itu memberikan tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti terbabit agar mereka berkembang secara lebih tersusun, profesional dan sedia menghadapi cabaran sukan moden.

Program itu turut menyuntik nafas baharu dalam pembangunan sukan wanita melalui pendekatan berasaskan pendidikan, motivasi dan pengalaman praktikal yang santai tetap memberi impak bermakna.

Tahun ini, ianya dianjurkan dengan kerjasama Netball Hive, platform digital komuniti bola jaring terkemuka, Netball Hive serta Malaysia National Ice Skating Stadium (MyNISS) selaku venue rasmi sekaligus memberi pengalaman yang luar biasa kepada peserta.

Salah satu aktiviti yang paling mencuri perhatian adalah “Penalty Shoot on Ice”, di mana peserta mencuba cabaran penalti di atas gelanggang luncur ais sebenar. Ini satu pengalaman yang unik, menyeronokkan dan menguji keseimbangan semua yang terlibat.

Selain aktiviti fizikal, para peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu merangkumi topik penting seperti Kod Sukan Selamat, Pertolongan Cemas Sukan, Kesedaran Kecederaan Sukan serta Dandanan Diri bersama pakar industri dan pemain-pemain NSL. 

Topik-topik ini merupakan elemen asas yang diperlukan dalam pengurusan sesebuah kelab bagi memastikan organisasi beroperasi secara selamat, profesional dan berdaya saing.

“EmpowerHER bukan hanya sekadar ceramah, ia bertujuan untuk membina komuniti wanita yang yakin, progresif dan bersedia untuk memimpin. NSL bukan sekadar platform kompetitif; ia adalah usaha membangunkan bakat dari akar umbi, termasuk belia yang baru membina langkah dalam dunia sukan. Kami mahu setiap peserta pulang dengan inspirasi baharu dan pemahaman bahawa mereka adalah sebahagian penting masa depan bola jaring negara.” 

“EmpowerHER 2026 menjadi simbol bahawa pembangunan sukan wanita tidak lagi terhad kepada gelanggang semata-mata, tetapi kini telah berkembang menjadi sebuah gerakan komuniti yang lebih besar, lebih kuat dan lebih menyatu. Kami berharap inisiatif ini terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan yang kreatif, inklusif dan berimpak untuk komuniti bola jaring pada masa akan datang,” kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John.

Saingan NSL musim baharu bakal membuka tirainya bermula 17hb April kelak dengan penyertaan lapan buah pasukan terbaik dalam negara. Musim ini dijangka lebih kompetitif, lebih dinamik dan penuh dengan detik berharga yang tidak boleh dilepaskan oleh para peminat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd