Nottingham Forest Lantik Ketua Jurulatih Baharu – Selepas Pecat Sean, Ange & Nuno
Hafiz Omar

Kelab yang berada di tangga ke-17 Liga Perdana (PL), Nottingham Forest kini mendapat ketua jurulatih baharu, Vitor Pereira selepas memecat Sean Dyche pada Khamis lalu.
Pelantikan Pereira, berusia 57 tahun, kelahiran Portugal itu diumumkan oleh Forest dengan kontrak selama 18 bulan menerusi pelbagai akaun media sosialnya, pada Ahad.
Perkembangan itu menyaksikan Forest kini menggunakan empat pengendali berlainan untuk mengharungi saingan bola sepak musim ini selepas bermula dengan khidmat Nuno Espirito Santo diikuti oleh Ange Postecoglou dan Sean Dyche.
Pereira bukan nama yang asing dengan kancah bola sepak Inggeris dengan mengemudi Wolverhampton Wanderers sepanjang musim 2024-25.
Sebagai rekod, Dyche yang menggantikan Postecoglou dilepaskan pada Khamis lalu selepas sekadar membimbing Forest selama 114 hari. Sepanjang tempoh itu, Dyche melakarkan enam kemenangan, empat seri dan lapan kekalahan.
Manakala Postecoglou pula tiba di City Ground pada 9hb September hanya bertahan selama lapan perlawanan, gagal merekodkan sebarang kemenangan, sebelum dilepaskan oleh Forest pada 20hb Oktober.
Sementara itu, Nuno pula ditunjukkan jalan keluar selepas mengendalikan tiga aksi PL musim 2025-26.
Pereira akan turun mengendalikan perlawanan pertamanya bersama Forest bertemu Fenerbahce di Istanbul pada Khamis dalam kancah Liga Europa diikuti melayan kunjungan Liverpool bagi saingan PL di laman sendiri, tiga hari berikutnya.
Featured Image: Nottingham Forest