Hospital Pakar Salam Sokong Liga Sosial FAS
Hafiz Omar

Badan induk, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Hospital Pakar Shah Salam Shah Alam tampil mengumumkan satu kerjasama strategik yang bertujuan memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi serta menyokong penganjur liga sosial di bawah kelolaan FAS.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam membangunkan ekosistem bola sepak yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan komuniti, selari dengan aspirasi Selangor sebagai peneraju sukan di peringkat nasional.
Menerusi kerjasama ini, Hospital Pakar Salam Shah Alam akan menyokong inisiatif pembangunan akar umbi FAS yang memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, kecergasan dan pemulihan dalam kalangan pemain serta jurulatih.
Kerjasama ini juga merangkumi sokongan terhadap liga sosial anjuran FAS yang membabitkan penyertaan daripada Ahli Gabungan FAS, pihak berkuasa tempatan (PBT), komuniti setempat, syarikat korporat dan peminat bola sepak merangkumi kategori junior, belia dan dewasa termasuk wanita.
“Kami berbangga untuk meraikan jalinan kerjasama kami bersama FAS, satu kolaborasi yang berteraskan semangat bersama dalam pembangunan komuniti, pemerkasaan belia serta kecintaan terhadap sukan bola sepak.”
“Pihak kami sentiasa percaya bahawa penjagaan kesihatan melangkaui dinding hospital, ia merangkumi usaha memelihara kesejahteraan masyarakat dengan visi untuk menjadi hospital komuniti pilihan rakyat Selangor.”
“Hospital kami juga dibentuk sebagai hospital komuniti dan kerjasama ini adalah untuk meraikan komuniti bola sepak sosial untuk menjaga kesihatan di tahap terbaik agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan sihat dan lebih baik.”
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyokong inisiatif bola sepak akar umbi yang menggalakkan amalan hidup sihat, memberi inspirasi kepada generasi atlet baharu, serta membina membuka lebih banyak peluang dalam aktiviti fizikal, bimbingan serta penglibatan komuniti,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Pakar Salam Shah Alam, Akim Affandi.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil melabelkan kerjasama ini merupakan suatu perkara yang menyentuh tuntutan objektif FAS di bawah tunjang inisiatif berimpak (impactful initiative) dan kerjasama yang utuh (powerful partnership).
“FAS amat berbesar hati dengan kesudian Hospital Pakar SALAM Shah Alam menjadi sebahagian daripada pendukung pembangunan bola sepak akar umbi di negeri Selangor. Kerjasama yang secara langsung menyentuh dua objektif utama FAS dengan termeterainya jalinan strategik ini.” katanya.