Bank Islam Lancar Kad Debit-i & Kad Kredit-i Visa FIFA World Cup 2026 Edisi Terhad
Hafiz Omar

Berbaki tiga bulan dan tiga minggu sebelum bermula kejohanan bola sepak paling berprestij di atas muka bumi, Piala Dunia FIFA 2026, Bank Islam tampil melancarkan edisi terhad Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Islam Visa FIFA World Cup 2026.
Kedua-dua kad itu tampil dengan rekaan bertemakan kejohanan sambil dihiasi dengan logo rasmi Piala Dunia FIFA 2026 yang cukup dikenali dan mencuri perhatian menerusi tipografi “26”.
Pengenalan kedua-dua kad edisi terhad itu turut diiringi dengan kempen istimewa yang menawarkan peluang sekali seumur hidup kepada rakyat Malaysia.
Bermula dari 1hb Mac hingga 30hb April 2026, pemegang kad ini akan berpeluang untuk memenangi tiket perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Syarikat, tiket penerbangsan pergi dan balik serta layanan hospitaliti, wang saku bernilai RM10,000 dan barangan eksklusif Piala Dunia FIFA 2026 untuk 400 pemegang kad terawal.
“Bola sepak menyatukan rakyat merentas generasi dan budaya, dan kami ingin membawa semangat hebat dan bermakna ini kepada rakyat Malaysia. Kad edisi terhad ini membolehkan pelanggan kami membawa sebahagian daripada semangat itu bersama mereka, menjadikan setiap sentuhan kad bagaikan satu langkah lebih dekat dengan kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026™.” ujar Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram.
Bank Islam berkongsikan bahawa pemegang kad kredit terbabit akan berpeluang untuk menikmati ganjaran perbelanjaan sehingga 5% pulangan tunai untuk transaksi dalam talian, bil automatik, barangan runcit dan makan.
Antara lain, pemegang kad kredit turut mendapat akses kepada GoFlexi dan GoCash untuk pelan ansuran mudah serta pemindahan baki 0% untuk pemegang kad baharu sehingga 30hb April 2026.
Bukan itu sahaja, perlindungan kemalangan peribadi semasa perjalanan di seluruh dunia sehingga RM1 juta dan perlindungan takaful turut disenaraikan sebagai manfaat buat pemegang kad.
“Bola sepak sentiasa menjadi sukan yang menyatukan rakyat Malaysia, dan seiring semangat Piala Dunia FIFA 2026™ yang kian memuncak, kami amat gembira dapat membantu peminat membawa semangat itu bersama mereka dalam perbelanjaan harian.”
“Dengan lebih separuh rakyat Malaysia adalah peminat bola sepak, jelas bahawa minat ini begitu mendalam di seluruh negara. Melalui kerjasama kami dengan Bank Islam, Visa membolehkan peminat bukan sahaja meraikan kejohanan global dan menzahirkan cinta mereka terhadap sukan bola sepak, tetapi juga membayar dengan yakin, lancar, dan selamat setiap hari.” kata Pengurus Negara Visa Malaysia, Previn Pillay.
Menerusi siaran media yang dikongsikan, Bank Islam mensasarkan untuk menyambut 5,000 pemegang kad kredit-i baharu dan 20,000 pemegang kad debit-i baharu sepanjang tempoh ini.
Maklumat lanjut mengenai edisi terhad kedua-dua kad terbabit boleh didapati bermula 1hb Mac 2026 dengan melayari laman sesawang korporat Bank Islam di www.bankislam.com.