Arsenal Keciciran Mata Lagi
Hafiz Omar

Pendahulu Liga Perdana (PL), Arsenal terpaksa akur kehilangan mata sekali lagi apabila bolos pada masa kecederaan ketika bertemu Wolverhampton Wanderers pada perlawanan ke-27, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Terdahulu, skuad kendalian Mikel Arteta berhasil mendahului dengan dua gol menerusi pemain bintangnya, Bukayo Saka seawal minit ke-5 dan pertahanan Ecuador, Piero Hincapie pada minit ke-56.
Bagaimanapun, Wolves bimbingan Rob Edwards berhasil merapatkan jurang berselang lima minit kemudian apabila bola sepakan lencong oleh Hugo Bueno menuju tepat ke bucu gawang dan gagal diselamatkan oleh David Raya.
A stoppage time equaliser from @Wolves means @Arsenal go five points clear at the top instead of a possible seven 📊 pic.twitter.com/HNUtSsLfXR
— Premier League (@premierleague) February 19, 2026
Tersentak dengan jaringan itu, Arsenal meneruskan permainan dengan melancarkan serangan demi serangan untuk melebarkan semula kedudukan. Namun begitu, benteng pertahanan dan ketangkasan Jose Sa menafikan banyak percubaan oleh skuad Gunners.
Ketika memasuki masa kecederaan, satu serangan yang dilancarkan oleh Wolves berjaya diterjemahkan kepada gol susulan Riccardo Calafiori tertampan bola sepakan Tom Edozie menjadikan kedudukan seri 2-2 dan kekal sehingga pengadil meniup wisel menamatkan permainan.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal mengutip satu mata sahaja daripada perlawanan ini dan mengumpul 58 mata secara keseluruhan. Manchester City di tangga kedua dengan 53 mata berpeluang untuk merapatkan jurang kepada dua mata dengan Arsenal sekiranya berjaya mengalahkan Newcastle United pada aksi ke-27, Ahad nanti.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua berturut-turut Arsenal keciciran mata selepas diikat oleh Brentford pada aksi ke-26 liga pada Jumaat lalu.
Featured Image: Arsenal