Bek Harimau Malaya Bantu Ratchaburi FC Ke Suku Akhir ACL2
Hafiz Omar

Bek kiri skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya, Daniel Ting, berhasil menempah tiket kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas membantu kelabnya, Ratchaburi FC menyingkirkan Persib Bandung secara agregat pada pusingan 16.
Biarpun Persib Bandung bimbingan Bojan Hodak mencatatkan kemenangan 1-0 pada aksi timbal balik di Stadium Gelora Bandung Lautan Api semalam namun Ratchaburi FC muncul sebagai pemenang menerusi agregat 3-1.
Ia susulan daripada Ratchaburi FC merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Persib Bandung pada aksi pertama pusingan 16 hasil jaringan berganda oleh Tana dan satu gol daripada pemain gantian, Gabriel Matumbo.
Bagi kedua-dua perlawanan terbabit, Daniel diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatihnya, Worrawoot Srimaka untuk bermula dalam kesebelasan utama dan beraksi selama 90 minit penuh.
Daniel dan Ratchaburi FC akan menantikan pemenang bagi pertembungan membabitkan wakil Jepun, Gamba Osaka dan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers bagi menentukan lawan yang seterusnya.
Featured Image: Ratchaburi FC