Piala Cincinnati: Noor Ainaa Lepasi Pusingan 1
Hafiz Omar

Pemain skuasy wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi memulakan kempen Piala Cincinnati Gaynor 2026 yang berlangsung di Ohio, Amerika Syarikat (AS) dengan langkah kanan apabila menumpaskan wakil Perancis, Marie Stephan pada pusingan 1.
Ainaa yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2025 menjelmakan kemenangan itu dengan menumpaskan pemain yang menghuni ranking ke-54 dunia itu menerusi skor 12-14, 11-9, 11-7 dan 12-10.
Kemenangan itu bukan sahaja memberikan Ainaa tiket kemaraan ke pusingan 2 bahkan turut menjadi episod balas dendam selepas kecundang di tangan Marie dalam pertemuan sulung di Kejohanan Dunia PSA 2023-2024.
Di pusingan berikutnya, Ainaa akan mencabar pemain England yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, Georgina Kennedy. Berdasarkan rekod, Ainaa pernah bertembung sebanyak dua kali setakat ini dan kedua-duanya berakhir dengan kekalahan.
Untuk makluman, Georgina mara selepas mendapat “bye” di pusingan 1.
Piala Cincinnati Gaynor 2026 merupakan salah salah satu siri kejohanan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf Perak (Silver) yang menawarkan hadiah terkumpul sebanyak AS$86,250 (~RM337,755).
Featured Image: Squash Racquets Association of Malaysia