Juara Liga A2 Amateur Lancar Logo Baharu
Hafiz Omar

AZM Rovers FC yang menjuarai saingan Liga A2 Amateur baru-baru ini tampil melancarkan logo baharu sebagai tanda permulaan era baharu.
Pelancaran logo baharunya itu dikongsikan menerusi akaun media sosial miliknya sambil menyifatkan ianya melambangkan kematangan, identiti yang lebih jelas serta hala tuju masa hadapan kelab..
Logo baharu itu masih mengekalkan rekaan berbentuk bulat, warna merah dan putih serta elemen belang merah putih daripada bendera Malaysia.
Perubahan paling ketara pada logonya adalah penukaran “bola sepak” kepada “bulan sabit, bintang, tombok dan keris” daripada bendera negeri Kelantan disamping menambahkan sedikit elemen berwarna kuning.
“Musim 2025-26 kami tutup dengan penuh kesyukuran dan kebanggaan atas setiap perjuangan yang dilalui. Kejayaan membawa pulang piala Liga A2 ke (negeri) Kelantan menjadi bukti kesungguhan, disiplin dan komitmen tanpa kompromi dalam setiap langkah.” tulis kenyataan kelab.
Pada musim berikutnya, AZM Rovers FC yang turut disertai oleh pemain legenda negeri Kelantan iaitu Badhri Radzi atau cukup dikenali sebagai Piya akan beraksi pula di Liga A1 Semi-Pro – divisyen kedua bola sepak tanah air.
Featured Image: AZM Rovers FC