Imigresen FC Berpindah Ke Stadium Tuanku Syed Putra Kangar
Hafiz Omar

Stadium Tuanku Syed Putra Kangar menjadi gelanggang baharu bagi kelab yang menghuni tangga kesembilan Liga Super, Imigresen FC berkuat kuasa bermula 19hb Februari.
Sebelum ini, skuad bimbingan Yusri Che Lah itu beraksi di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Bagaimanapun, kelab berjulukan The Mighty Tigers itu mengumumkan penukaran venue berkenaan selepas mendapat kelulusan daripada penganjur saingan domestik, Malaysian Football League (MFL).
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Imigresen FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan dan dikongsikan di pelbagai akaun media sosial rasmi kelab.
Aksi pertama Imigresen FC di Stadium Kangar yang berkapasiti sekitar 20,000 tempat duduk itu dijadualkan pada 1hb Mac 2026 bertemu kelab di tangga ketiga liga, Kuching City FC.