Zii Jia Setuju Sertai Piala Thomas, Ketepikan Bayaran Hak Imej
Hafiz Omar
Bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia menerima jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyertai skuad negara merebut Piala Thomas 2026 pada 24hb April hingga 3hb Mei kelak.
Persetujuan pemain berusia 27 tahun itu untuk menyertai skuad negara dimaklumkan sendiri oleh pasukannya, Team LZJ menerusi satu kenyataan rasmi yang dikongsikan pada Isnin.
Bertambah menarik, persetujuan itu turut diiringi dengan keputusan Zii Jia untuk mengetepikan segala polemik berkaitan hak imejnya sekaligus menumpukan sepenuhnya perjuangan negara untuk menamatkan kemarau 34 tahun kejuaraan Piala Thomas.
“Adalah dengan penuh sukacitanya diumumkan bahawa Lee Zii Jia telah mencapai persetujuan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia Piala Thomas 2026.”
Lee Zii Jia for Malaysia 🇲🇾#DareToDream #OwnYourAttitude #BeyondTheLimit #ShuttleHard pic.twitter.com/mJzkDcvBOG
— Team LZJ (@TeamLZJ) February 23, 2026
“Zii Jia juga telah bersetuju untuk mengetepikan bayaran hak imejnya demi mewakili negara pada Piala Thomas yang akan datang, mencerminkan komitmen dan dedikasinya kepada Malaysia.” tulis pihak Team LZJ.
Dalam kenyataan yang sama, Zii Jia merakamkan penghargaan ikhlas kepada BAM, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Dato’ Seri Lee Chong Wei kerana memberikan kepercayaan dan keyakinan kepadanya untuk menyumbang kepada negara.
Untuk makluman, Zii Jia menjadi salah seorang daripada dua pemain perseorangan lelaki profesional, selain Aidil Sholeh, yang dijemput oleh BAM untuk memperkasakan skuad Piala Thomas 2026.
Selain daripada dua nama yang disebutkan, BAM akan turut mempertaruhkan pemainnya, Leong Jun Hao, kini berstatus perseorangan lelaki No.1 negara, untuk memperkukuhkan skuad.
Featured Image: OCM