Stadium Titiwangsa Kini ‘Home of Sepak Takraw’

February 24, 2026
Sepak Takraw

Hafiz Omar

Venue yang menyaksikan Malaysia meraih gelaran juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 iaitu Stadium Titiwangsa kini dijadikan sebagai gelanggang rasmi sukan sepak takraw negara atau “Home of Sepak Takraw”.

Ia menjadikan stadium yang terletak berhampiran Tasik Titiwangsa itu sebagai gelanggang rasmi buat skuad sepak takraw negara atau venue bagi sebarang pertandingan rasmi oleh Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Pengisytiharan dan pengumuman terbabit disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh dalam satu majlis yang berlangsung di stadium berkenaan pada Isnin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pemilik stadium dan kerajaan khususnya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersetuju memberikan pengiktirafan susulan kejayaan skuad sepak takraw di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2025 termasuk membutirkan dua pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025.

Hannah berkata, kejayaan itu membuktikan sepak takraw bukan sekadar sukan tradisi malah merupakan sukan kompetitif bertaraf dunia yang memerlukan sokongan berterusan, perancangan strategik dan kemudahan berkualiti.

Pengiktirafan Stadium Titiwangsa sebagai hab sepak takraw turut bertujuan menyediakan platform latihan yang lebih sistematik dan berfokus kepada pembangunan prestasi tinggi atlet.

Menurut Hannah, sebanyak RM80,000 telah dibelanjakan untuk menambahbaik Stadium Titiwangsa sebagai hab sepak takraw merangkumi lukisan mural sebagai pengukuhan identiti stadium, naik taraf papan skor LED, ruang VIP, bilik media, surau, bilik persalinan, tandas serta kelengkapan peralatan sepak takraw.

Featured Image: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd