Sabah FC Sambar Bekas Pengendali Skuad Kebangsaan B-23
Hafiz Omar
Kelab berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC mengumumkan bekas pengendali skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) iaitu Juan Torres Garrido sebagau ketua jurulatih baharunya.
Pelantikan jurulatih kelahiran Sepanyol itu diumumkan Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy, pada Rabu.
Perkembangan itu menyaksikan Juan Torres mengambil alih tugas daripada Alto Linus yang menggalas jawatan sebagai pemangku ketua jurulatih berikutan perletakan jawatan Jean-Paul de Marigny pada Disember lalu. Sehubungan itu, Alto pula kembali menjalankan tugasnya sebagai penolong ketua jurulatih.
“Juan Torres akan memulakan tugas rasminya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini,” kata Arziz.

Tambah Arziz, pengalaman Juan Torres mengendalikan skuad B-23 negara serta pengetahuannya mengenai Liga Malaysia menjadi antara faktor utama Sabah FC mendapatkan khidmatnya.
Arziz yang dilantik sebagai Pengurus Sabah FC pada 13hb Januari lalu percaya kehadiran Juan Torres mampu membawa perubahan positif kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
“Fokus utama kami juga adalah untuk mara ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2025-2026,” katanya.
Dalam pada itu, Arziz turut berharap para pemain dapat memberi komitmen sepenuhnya, menunjukkan disiplin tinggi serta cepat menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan yang diperkenalkan.
“Dengan semangat berpasukan yang kukuh dan kesungguhan semua pihak, saya yakin Sabah FC mampu mencapai keputusan yang lebih baik selepas ini,” ujarnya.
Featured Image: Sabah FC