Terbuka Jerman: Ling Ching Mara, Letshanaa Kandas

February 26, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Wong Ling Ching muncul perseorangan wanita negara tunggal yang meneruskan kempen Terbuka Jerman 2026 selepas mencatatkan kemenangan di pusingan 32, pada hari kedua kejohanan.

Pemain berusia 22 tahun itu melakar kemenangan terbabit ketika bertemu wakil India yang menghuni ranking ke-40, Tanvi Sharma dengan keputusan 21-19, 17-21 dan 21-16 dalam masa 56 minit.

Hasil daripada kemenangan itu, Ling Ching mara bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Thailand, Pornpawee Chochuwong untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300 ini.

Terdahulu, Pornpawee mara selepas menundukkan pemain India, Isharani Baruah menerusi skor 21-15 dan 21-18 dalam masa 44 minit.

Berdasarkan rekod, Ling Ching dan Pornpawee sudah pernah bertembung sebanyak satu kali sebelum ini di kejohanan Piala Uber 2024. Dalam pertemuan itu, Pornpawee melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 21-15 dalam masa 35 minit.

Sementara itu, seorang lagi perseorangan wanita negara yang beraksi di Terbuka Jerman 2026, Letshanaa Karupathevan terpaksa akur kandas di pusingan 32 selepas tewas di tangan pilihan keempat kejohanan dari Jepun, Tomoka Miyazaki menerusi skor 9-21, 21-15 dan 11-21.

Featured Image: BAM   

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd