Terbuka Jerman: Soon Huat-Shevon, Jimmy-Pei Jing Ke Pusingan 16
Hafiz Omar

Dua beregu campuran negara yang beraksi di Terbuka Jerman 2026 berhasil bermula dengan langkah kanan sekaligus menempatkan diri ke pusingan 16.
Gandingan Jimmy Wong dan Lai Pei Jing terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas menjinakkan pasangan Denmark, Kristoffer Kolding dan Mette Werge.
Bagaimanapun, Jimmy-Pei Jing terpaksa bertarung tiga set permainan dengan pasangan yang menghuni ranking ke-50 dunia itu sebelum muncul sebagai pemenang menerusi skor 16-21, 21-17 dan 21-17 dalam masa 55 minit.
Kemenangan itu membawanya bertemu beregu Thailand, Supak Jomkoh dan Omnicha Jongsathapornparn untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Manakala, sepasang lagi wakil negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai turut mengiringi Jimmy-Pei Jing ke pusingan 16 selepas menumpaskan beregu Belanda, Brian Wassink dan Debora Jille.
Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan kelima mudah mengetepikan pasangan yang menghuni ranking ke-83 itu menerusi skor 21-15 dan 21-8 dalam masa 26 minit sahaja.
Perlawanan seterusnya, Soon Huat-Shevon akan berhadap beregu Sweden yang menduduki ranking ke-73 dunia, Filip Karlborg dan Tilda Sjoo.
Featured Image: BAM