Terbuka Jerman: Jun Hao, Justin Kandas
Hafiz Omar

Tiada kelibat perseorangan lelaki negara bermula peringkat pusingan 16 Terbuka Jerman 2026 selepas kedua-dua wakil, Leong Jun Hao dan Justin Hoh tewas kepada lawan masing-masing pada pusingan 32.
Jun Hao yang berstatus perseorangan lelaki No.1 negara gagal menempatkan diri di pusingan 16 apabila tewas di tangan pilihan kelapan kejohanan dari Chinese Taipei, Chi Yu Jen.
Pertarungan sengit selamat satu jam dan sembilan minit yang berlanjutan sehingga tiga set permainan itu berakhir dengan Jun Hao tewas menerusi skor 21-18, 5-21 dan 20-22.
Susulan tamatnya cabarannya di Terbuka Jerman, tumpuan Jun Hao akan beralih kepada kejohanan seterusnya iaitu Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2026 yang akan bermula 3hb Mac depan.
Jun Hao akan memulakan kempen Seluruh England dengan berhadapan pemain Jepun, Kenta Nishimoto.
Sementara itu, Justin, 22 tahun, turut menerima nasib yang sama apabila tumpas di tangan perseorangan lelaki No.1 Hong Kong, Lee Cheuk Yiu menerusi tiga permainan yang berkesudahan dengan skor 17-21, 21-12 dan 8-21 dalam masa 58 minit.
Itu merupakan kekalahan kedua dialami Justin bertemu Cheuk Yiu selepas tewas pertemuan sulung di Kejohanan Badminton Asia Berpasukan Campuran 2025.
Featured Image: BAC