MSN Lancar MyATHLETE CENTRE – Hab Kesejahteraan Holistik Untuk Atlet

February 26, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Majlis Sukan Negara (MSN) tampil melancarkan sebuah pusat atlet yang diberikan nama MyATHLETE CENTRE berfungsi sebagai sebuah hab kesejahteraan holistik yang menyokong kesihatan mental, kebajikan serta perancangan kerjaya atlet.

Majlis perasmian pusat atlet itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohamed Taufiq Johari bertempat di Pavilion MSN Bukit Jalil pada hari ini. 

“Suka untuk saya umumkan bahawa pengoperasian MyAthlete Centre ini akan dikendalikan oleh atlet-atlet kebangsaan yang akan diberi peluang bekerja secara sambilan.”

“Dengan mekanisme ini, atlet diberi peluang menjana pendapatan tambahan selain meraih pengalaman pekerjaan. Nesacaya pusat ini akan menjadi ‘centre for athletes, by athletes’.” kongsi Taufiq dalam ucapannya.

Antara fasiliti yang disediakan di situ adalah ruang untuk atlet-atlet beriadah dengan ruang santai yang kondusif. Selain itu, ia turut mempunyai tempat untuk menganjurkan pelbagai program dan aktiviti bagi memupuk semangat sepasukan dan perpaduan dalam kalangan atlet berbilang bangsa.

Menurut Taufiq, pusat ini akan menjadi rujukan kepada atlet untuk mendapatkan nasihat dan maklumat berkaitan pendidikan, kebajikan dan laluan kerjaya.

Antaranya, perkhidmatan literasi kewangan yang dikendalikan oleh MACE Partners, Allianz Malaysia Berhad menerusi Program MoveForward yang telah dilaksanakan sejak tahun 2023.

Dalam majlis yang sama, seramai 16 bekas atlet kebangsaan seperti Muhammad Zubair Mohamed, Goh Liu Ying dan Sharmendran sebagai jurucakap rasmi MACE.

“Dengan pelantikan ini, mereka dapat menjadi ‘duta kecil’ sukan negara terutamanya menyebarkan maklumat sahih melalui media sosial. Mereka memikul tanggungjawab besar untuk memastikan maklumat mengenai perkhidmatan sokongan MSN sampai kepada seluruh komuniti atlet dan orang ramai supaya tiada pemegang taruh ketinggalan daripada menerima manfaat yang disediakan.” kata Taufiq.

Majlis itu dilengkapkan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MSN bersama tiga rakan korporat utama terdiri daripada Bubbles O2, Zus Coffee dan Ikea Malaysia (IKANO Retail) bagi menyediakan platform kerjaya yang inklusif.

Dimaklumkan, inisiatif ini bakal diperluaskan ke Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan dan Kompleks Sukan MSN, Nilai.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd