Juan Torres Fokus Kepada Penerapan Idea & Falsafah
Hafiz Omar

Ketua jurulatih baharu Sabah FC, Juan Torres Garrido, tidak sabar untuk memulakan cabaran pertamanya bersama Sang Badak apabila turun beraksi, pada Sabtu.
Jurulatih berusia 45 tahun dari Sepanyol itu memulakan tugasnya bersama Sebah FC pada Rabu.
Torres memaklumkan menggunakan tempoh itu untuk mengenali para pemainnya serta menerapkan corak permainan yang dimahukannya.
“Fokus saya sekarang adalah mengenali pemain dengan lebih dekat dan memastikan mereka memahami idea serta falsafah yang mahu diterapkan. Penting untuk semua bergerak dalam hala tuju yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Torres memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai taktikal yang mahu diterapkannya. Sebaliknya, Torres mahu pendekatannya diterjemahkan di atas padang.
Mengulas mengenai pertemuan berikutnya, menentang Negeri Sembilan FC, Torres menyifatkan skuad bimbingan K. Rajan itu mempunyai kombinasi pemain tempatan dan import yang berpengalaman.
“Mereka memiliki struktur yang baik dan sedang berada dalam momentum positif. Saya jangka perlawanan yang sengit,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Torres menyeru penyokong setia Sang Badak untuk membanjiri stadium dan memberikan sokongan padu.
“Kehadiran penyokong amat penting untuk menaikkan semangat pemain. Kami mahu mulakan fasa ini dengan langkah kanan,” katanya.
Featured Image: Sabah FC