Cristiano Ronaldo Kini Pemilik Bersama Kelab Divisyen Dua Sepanyol
Hafiz Omar

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo kini menjadi pemilik bersama kelab divisyen dua Sepanyol, UD Almeria selepas memperoleh 25% pegangan saham kelab berkenaan.
Penyerang yang menyambut ulang tahun ke-41 pada 5hb Februari lalu membeli pegangan saham itu menerusi syarikatnya, CR7 Sports Investments – subsidiari kepada CR7 S.A.
Saham itu dibeli, tanpa didedahkan butiran kewangan, daripada pemilik kelab, konsortium pelaburan Arab Saudi, Kumpulan SMC yang diketuai oleh Mohammed Al-Khereji merangkap Presiden UD Almeria.
“Kami sangat gembira Cristiano memilih untuk melabur dalam kelab kami,” kata Mohammed Al-Khereji.
Comunicado oficial:
Cristiano Ronaldo invierte en la UD Almería como parte del consorcio propietario del club liderado por SMC Group pic.twitter.com/0hGGWguEc0
— UD Almería (@U_D_Almeria) February 26, 2026
“Dia dianggap sebagai pemain terhebat dalam sejarah, cukup mengenali bola sepak Sepanyol dan memahami potensi yang kami bina dalam kedua-dua pasukan utama dan peringkat akademi,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Ronaldo yang kini masih beraksi bersama Al Nassr mendedahkan beliau sudah lama mempunyai hasrat untuk menyumbang kepada bola sepak di luar padang.
“UD Almeria mempunyai asal yang kukuh dan potensi pertumbuhan yang jelas. Saya menantikan untuk bekerjasama dengan barisan pengurusan bagi menyokong fasa kelab yang seterusnya.” ujar Ronaldo.
Untuk makluman, UD Almeria yang berpangkalan di Andalusia itu sedang menghuni tangga ketiga La Liga 2 dengan 48 mata setelah mengharungi 27 perlawanan.