Kane Sasar Pecah Rekod Lewandowski – 41 Gol Semusim

March 2, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang kelahiran England, Harry Kane mengakui meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod 41 gol semusim dalam saingan Bundesliga yang dicipta oleh Robert Lewandowski.

Sasaran itu diakui Kane selepas meledak dua gol membantu Bayern Munich mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas seteru, Borussia Dortmund di Signal Iduna Park, pada Ahad. 

“Sudah tentu,” kata bekas penyerang Tottenham Hotspur itu seperti dipetik daripada ESPN apabila ditanya samada dia cuba memecahkan rekod yang dilakukan oleh Lewandowski pada 2020-21.

Pemain berusia 32 tahun menjaringkan kedua-dua gol itu pada separuh masa kedua dengan salah satu daripadanya hasil daripada sepakan penalti. Dua gol itu menyaksikan Kane kini mengumpul 30 gol daripada 24 perlawanan Bundesliga.

Menariknya, ini merupakan kali keempat berturut-turut Kane menjaringkan dua gol bagi setiap perlawanan bermula dengan pertemuan menentang Hoffenheim, Werder Bremen, Frankfurt sebelum mengulanginya bersama Dortmund.

Prestasi Kane bersama Bayern Munich musim ini sangat mengagumkan. Secara keseluruhannya, Kane telah meledak 45 gol daripada 37 penampilan yang dilakukan dalam kesemua pertandingan.

Sekitar pertengahan Februari lalu, Kane juga telah merekodkan pencapaian baharu dalam kariernya apabila menjaringkan 500 gol secara keseluruhan di peringkat kelab dan skuad kebangsaan. 

Pada masa yang sama, kemenangan yang direkodkan oleh Bayern Munich itu menyaksikan skuad bimbingan Vincent Kompany itu mendahului 11 mata berbanding Dortmund yang menghuni tangga kedua Bundesliga.

Featured Image: Bayern Munich

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd