La Liga: Real Madrid Tewas Di Bernebeu, Barcelona Mendahului 4 Mata

March 3, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Real Madrid bimbingan Alvaro Arbeloa mengalami kekalahan mengejutkan di tangan kelab pertengahan liga, Getafe CF awal pagi tadi sekaligus ketinggalan empat mata dengan pendahulu, FC Barcelona.

Lebih memalukan, skuad berjulukan Los Blancos itu tewas mengejut 0-1 di lamannya sendiri, Santiago Bernebeu hasil jaringan voli dari luar kotak penalti oleh Martin Satriano pada minit ke-39.

Tersentak dengan jaringan terbabit, Real Madrid berusaha gigih untuk mencari gol penyamaan namun menemui kebuntuan biarpun menguasai hampir kesemua aspek permainan seperti jumlah percubaan, percubaan tepat, penguasaan bola, hantaran, ketepatan hantaran serta sepakan sudut.

Kekecewaan Real Madrid memuncak pada masa kecederaan apabila pemain gantian, Franco Mastanuono dilayangkan kad merah sekaligus dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil.

Pada masa yang sama, Getafe juga kehilangan seorang pemain, Adrian Liso yang turut diperintah keluar padang.

Keputusan itu merupakan satu kemenangan yang cukup bersejarah buat Getafe yang merekodkan kekalahan apabila bertemu Real Madrid di Bernebeu sejak 18 tahun lalu.

Keputusan itu menyaksikan Real Madrid kekal di tangga kedua La Liga dengan kutipan 60 mata daripada 26 perlawanan sementara Barcelona kendalian Hansi Flick di puncak dengan 64 mata.

Manakala Getafe yang meraih tiga mata berharga di Bernebeu kini menghuni tangga kesebelas liga dengan 32 mata.

Featured Image: Real Madrid

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd