Martin Demichelis Diperkenalkan Di Stadium Mallorca Son Moix
Hafiz Omar

Bekas pertahanan Bayern Munich dan Manchester City, Martin Demichelis diperkenalkan secara rasmi di Stadium Mallorca Son Moix selepas RCD Mallorca mengumumkan pelantikannya sebagai pengurus baharu, Jumaat lalu.
Nama Demichelis kelahiran Argentina, berusia 45 tahun, diberikan kontrak untuk membimbing Mallorca sehingga ke penghujung musim dengan pilihan lanjutan selama semusim lagi.
Beliau dipilih oleh pihak pengurusan bagi menggantikan Jagoba Arrasate yang meninggalkan kelab pada minggu lalu selepas sekadar mengutip 24 mata daripada 26 perlawanan dan berada di zon penyingkiran.
𝐇𝐚𝐲 𝐪𝐮𝐞 𝐜𝐫𝐞𝐞𝐫 pic.twitter.com/gBTc6cQ7ky
— RCD Mallorca (@RCD_Mallorca) March 1, 2026
Tumpuan utama Demichelis sehingga ke penghujung musim ini pastinya memimpin Mallorca keluar daripada zon penyingkiran sekaligus kekal beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak Sepanyol, La Liga, pada musim hadapan.
Sebagai rekod, Demichelis yang bersara sebagai pemain bola sepak profesional pada tahun 2017 memulakan karier dalam bidang kejurulatihan pada tahun 2021 bersama skuad simpanan, Bayern Munich II.
Demichelis tidak menunggu lama untuk mencipta nama dalam arena kejurulatihan apabila berhasil membimbing River Plate merangkul tiga kejuaraan – Liga Argentina, Super Cup dan Trofi Kejuaraan pada musim 2023-24.
Pada musim berikutnya, khidmatnya dipancing oleh kelab Liga Mexico, CF Monterrey dan Demichelis berhasil melakar 20 kemenangan dan 11 seri daripada 43 perlawanan secara keseluruhan.
Featured Image: RCD Mallorca