All England: Jun Hao Singkir Pemain No.2 Jepun

March 4, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara,  Leong Jun Hao memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2026 dengan langkah kanan menyingkirkan pemain No.2 Jepun, Kenta Nishimoto.

Biarpun berada di ranking yang lebih rendah, tangga ke-26 dunia, Jun Hao berhasil mengalahkan Nishimoto yang menghuni ranking ke-13 dunia setelah bertarung selama satu jam dan 21 minit.

Jun Hao bermula dengan mencatatkan kemenangan pada set pertama, 21-17, diikuti dengan tewas pada set kedua, 13-21. Bagaimanapun, pada set ketiga, pemain berusia 26 tahun itu kembali mencatatkan kemenangan menerusi skor 21-18.

Sebagai rekod, ini merupakan kali keempat daripada tujuh pertemuan Jun Hao berjaya mengalahkan pemain dari negara matahari terbit terbabit.

Hasil kemenangan itu, Jun Hao dapat meneruskan kempennya ke pusingan 16 dan menantinya di situ adalah seorang lagi pemain dari Jepun, Koki Watanabe, penghuni ranking ke-24 dunia.

Pemain berusia 27 tahun berkenaan mara susulan mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari Denmark, Anders Antonsen dengan dua berturut-turut, 21-8 dan 21-12.

Melihat kepada rekod, Jun Hao sudah pernah bertembung Watanabe sebanyak lima kali setakat ini dan berhasil meraih empat kemenangan.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd