All England: Pearly-Thinaah Balas Dendam Kekalahan Lalu
Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berhasil membalas dendam kekalahan lalu di tangan gandingan Jepun, Arisa Igarashi dan Chiharu Shida dengan melakar kemenangan pada pusingan 32 di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2026.
Dalam pertemuan itu, Pearly-Thinaah mencetak kemenangan ke atas pasangan yang menghuni ranking ke-17 dunia itu menerusi skor 21-19 dan 21-13 dalam masa 46 minit.
Keputusan itu sekaligus menebus kekecewaan selepas tewas 18-21 dan 9-21 pada aksi pertama melibatkan kedua-dua pasangan ini di Terbuka Denmark pada tahun lalu.
Ketika itu, Igarashi-Shida baru sahaja bergandingan selama beberapa minggu selepas Shida berpisah dengan pasangan lamanya, Nami Matsuyama.
Hasil keputusan itu juga, Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kedua meneruskan kempennya ke pusingan 16 dan menantinya di situ adalah beregu Korea yang baru sahaja bergandingan sejak awal Februari lalu, Lee Seo Jin dan Lee Yeon Woo.
Sementara itu, sepasang lagi wakil negara dalam kategori beregu wanita, Ong Xin Yee dan Carmen Ting terpaksa melupakan kempen Seluruh England selepas tewas di tangan pilihan kelima kejohanan dari Jepun, Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto.
Featured Image: BAT