Penggantungan 7 Pemain Malaysia Selama 12 Bulan Adalah Wajar – CAS
Hafiz Omar

Hukuman gantung selama 12 bulan terhadap tujuh pemain skuad kebangsaan Malaysia yang terdiri daripada Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figeuiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machucha dan Gabriel Palmero berikutan kes pemalsuan dan penyelewengan dokumentasi kekal.
Bagaimanapun, hukuman itu dilonggarkan dimana ketujuh-tujuh pemain itu digantung untuk perlawanan rasmi sahaja dan dibenarkan untuk berlatih bersama kelab masing-masing berkuat-kuasa 5hb Mac 2026.
Tempoh penggantungan 12 bulan itu termasuk tempoh penggantungan yang telah bermula pada 25hb September 2025 lalu sehingga 26hb Januari 2026 – sebelum ditarik seketika.
Demikian pemakluman keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.
“Setelah meneliti bukit yang dikemukakan, Panel CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan telah terbukti dan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan adalah hukuman yang wajar dan sepadan bagi para pemain, memandangkan mereka terlibat secara bersama dalam penipuan ini,” tulis CAS dalam kenyataan media itu.
Sementara itu, CAS turut memaklumkan denda sebanyak CHF350,000 (~RM1.77 juta) terhadap badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikekalkan.
Sebagai rekod, FAM dan para pemain telah mengemukakan rayuan yang disatukan kepada CAS pada 5hb Disember 2025. Dalam rayuan itu, FAM mengakui wujudnya “kelemahan institusi” dan tidak menafikan kemungkinan badan itu bertanggungjawab terhadap pelanggaran Kod Disiplin FIFA (FDC).
Ia juga menyatakan bahawa pemain hanya mempunyai peranan terhad dalam menyediakan dokumen yang diminta FAM serta tidak menyiapkan atau mengubah dokumen tersebut.
FAM pula memohon agar keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA diketepikan dan sebarang tindakan terhadap FAM dikenakan denda tidak melebihi CHF50,000 (~RM252,996).
Rayuan oleh para pemain pula memohon agar keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA dibatalkan sepenuhnya atau, sebagai alternatif, dikenakan hukuman yang setimpal memandangkan mereka tidak bertindak dengan niat atau kecuaian.
Untuk makluman, rayuan tersebut dipertimbangkan secara bersama oleh Panel Arbitrasi CAS yang diketuai Lars Hilinger (Denmark) sebagai Presiden bersama Jose Luis Andrade (Portugal) dan Massimo Coccia (Itali).
Sesi pendengaran berlangsung pada 26hb Februari di ibu pejabat CAS di Laussanne, Switzerland.