All England: Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun Berentap Di Suku Akhir
Hafiz Omar
Peminat-peminat badminton tanah air akan dapat menyaksikan sekurang-kurangnya satu wakil Malaysia akan beraksi pada peringkat separuh akhir di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2026.
Perkembangan itu hadir selepas beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta beregu lelaki No.2 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun bertembung sesama sendiri di peringkat suku akhir.
Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan mara selepas menumbangkan beregu senegara, Arif Junaidi dan Yap Roy King menerusi skor 21-15, 18-21 dan 21-18 dalam masa satu jam dan tiga minit.

Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun pula melangkah ke suku akhir susulan melakar kemenangan bergaya ke atas beregu Chinese Taipei, Chiu Hsien-chieh dan Wang Chi-lin menerusi skor 21-14 dan 21-18 dalam masa 33 minit.
Pertemuan untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia BWF Super 1000 bakal menjadi perlawanan kelapan melibatkan kedua-dua beregu di pentas antarabangsa.
Tujuh pertemuan sebelum ini tampak hampir seimbang dengan Aaron-Wooi Yik meraih empat kemenangan dan Wei Chong-Kai Wun melakar tiga kemenangan.
Sebagai rekod, kedua-duanya dilihat berentap sesama sendiri di Terbuka China 2025 pada Julai lalu. Ianya berakhir dengan Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-16 dan 21-16 dalam masa 33 minit.
Featured Image: BAT