Kim-Seo Sekat Aaron-Wooi Yik Rangkul Gelaran All England 2026

March 9, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Hasrat beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk merangkul gelaran juara di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2026 tidak kesampaian susulan tewas kepada pasangan No.1 dunia, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae.

Aaron-Wooi Yik memulakan pertembungan sengit itu dengan melakar kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-18. Bagaimanapun, beregu dari Republik Korea itu bangkit di set kedua meraih kemenangan menerusi skor 21-12 sekaligus mengheret perebutan gelaran juara itu ke set penentuan.

Pada set berikutnya, perlawanan berlangsung dengan penuh debaran apabila kedua-duanya saling kejar mengejar mata namun di penghujungnya Kim-Seo berhasil mengesahkan kemenangan menerusi skor 21-19.

Itu menjadi kekalahan ketiga Aaron-Wooi Yik daripada empat pertemuan menentang Kim-Seo di pelbagai kejohanan antrabangsa sejak Januari 2025. 

Pada masa yang sama, keputusan itu bukan sahaja menyaksikan Aaron-Wooi Yik terlepas kejuaraan sulungnya di Birmingham itu bahkan turut membuatkan kemarau kejuaraan All England dalam kalangan beregu lelaki Malaysia berlanjutan.  

Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki Malaysia menaiki podium dan meraih gelaran juara di All England adalah pada edisi 2007 menerusi gandingan legenda, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong.

Featured Image: BAT

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd