CEO Harimau Malaya Kecewa Keputusan CAS
Hafiz Omar
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Friend melahirkan kekecewaannya terhadap hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Khamis lalu.
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan oleh Malaysia NT di pelbagai akaun media sosial, Friend turut melabelkan hukuman yang mengekalkan penggantungan selama 12 bulan namun dibenarkan berlatih bersama-sama kelab masing-masing terhadap tujuh pemain skuad kebangsaan itu dianggap berlebihan.
“Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan, kami percaya terdapat asas yang kukuh untuk keputusan yang berbeza, dan para pemain telah menunjukkan sikap profesionalisme serta integriti sepanjang keseluruhan proses ini.”
“Pada pandangan kami, sekatan yang dikenakan terhadap para pemain masih berlebihan dan kelihatan tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes terdahulu yang melibatkan situasi yang sama, di mana penggantungan penuh daripada aktiviti bola sepak tidak dikenakan.” katanya dalam kenyataan terbabit.
OFFICIAL STATEMENT
We are disappointed with the overall decision by the Court of Arbitration for Sport, despite the mitigation of the sanctions. pic.twitter.com/p8cJLEX8uz
— Malaysia NT (@malaysia_nt) March 9, 2026
Sebagai rekod, tujuh pemain yang dikenakan hukuman penggantungan berkenaan ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figeuiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machucha dan Gabriel Palmero.
Hukuman itu dikenakan berikutan kes pemalsuan dan penyelewengan dokumentasi.
Pada masa yang sama, Friend menegaskan pihaknya akan terus menyokong para pemain dan memberikan tumpuan kepada persiapan untuk menentang Vietnam bagi perlawanan terakhir Kelayakakan Piala Asia 2027.
“Ini merupakan tempoh yang amat sukar bagi para pemain dan kelab mereka, yang tetap memberi sokongan sepanjang masa walaupun tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam isu asas yang berlaku.”
“Tanggungjawab kami sekarang adalah untuk berdiri teguh di belakang para pemain, memberi tumpuan kepada perlawanan akan datang menentang Vietnam, dan memastikan bola sepak Malaysia muncul lebih kuat serta lebih bersatu hasil daripada pengalaman ini.” ujarnya.