Piala FA: City, Liverpool Bertembung Di Suku Akhir

March 10, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Dua pasukan yang berada dalam kelompok enam teratas Liga Perdana (PL) iaitu Manchester City dan Liverpool akan bertembung sesama sendiri sekaligus menyemarakkan lagi peringkat suku akhir Piala FA England, musim ini.

Pertembungan kedua-dua kelab berkenaan diatur selepas selepas penganjur selesai mengadakan undian bagi saingan peringkat suku akhir, pada pagi tadi waktu Malaysia.

Ianya dijangka berlangsung sengit dan menghiburkan penyokong serta peminat dengan City bimbingan Pep Guardiola turun dengan status finalis dalam tiga edisi terdahulu secara berturut-turut.

Manakala Liverpool yang kini dikendalikan oleh Arne Slot pula merupakan juara Piala FA sebanyak lapan kali.

Untuk makluman, City mara ke kelompok lapan terakhir Piala FA selepas mengalahkan Newcastle United 3-1 pada Ahad sementara Liverpool pula menyingkirkan Wolverhampton Wanderers, 3-1, pada Sabtu.

Sementara itu, hasil undian lain menyaksikan pendahulu PL dan pemenang Piala FA terbanyak, Arsenal bakal bertemu Southampton, Chelsea menentang Port Vale dan West Ham United akan berhadapan Leeds United.

Kesemua perlawanan peringkat suku akhir ini dijadualkan berlangsung pada 4hb atau 5hb April kelak.

Featured Image: Emirates FA Cup

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd