Penyerang Terengganu FC Disenaraikan Bertemu China, Australia

March 10, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Khidmat penyerang import Terengganu FC iaitu Gervane Kastaneer nampaknya ditagih oleh skuad kebangsaan negaranya, Curacao pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bermula 23 hingga 31 Mac kelak.

Perkembangan itu hadir selepas Persekutuan Bola Sepak Curacao menyenaraikan namanya bersama-sama 25 pemain yang lain bagi menyertai FIFA Series 2026, sebuah kejohanan jemputan perlawanan persahabatan anjuran FIFA, di Australia.

Di kejohanan itu, Curacao yang telah mengesahkan tempat ke saingan Piala Dunia FIFA 2026 dijadualkan menentang hos, Australia (ranking 27) dan China (ranking 93) pada 27hb dan 31hb Mac masing-masing.

 

Kedua-dua aksi tersebut dilihat sebagai salah satu rangka persiapan Curacoa sebelum terbang ke Amerika Syarikat pada musim panas kelak.

Sebagai rekod, Kastaneer telah meledak dua gol serta mencipta dua bantuan gol sejak menyertai Terengganu FC bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan sekitar penghujung Januari lalu.

Selain Kastaneer, Curacao kendalian Fred Rutten turut menyenaraikan bekas pemain Manchester United, Tahith Chong; bekas penyerang Brighton, Jurgen Locadia serta bekas pemain tengah Aston Villa, Leandro Bacuna.

Untuk makluman, kejohanan ini merupakan tugasan pertama buat Fred setelah mengambil alih tugasan ketua jurulatih dari pengendali sebelumnya, Dick Advocaat.

Featured Image: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd