Iran Tak Sertai Piala Dunia FIFA 2026 – Menteri Sukan

March 12, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan yang menghuni ranking ke-20 dunia, Iran tidak akan beraksi di Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat bersama-sama Kanada dan Mexico pada Jun hingga Julai kelak.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamai selepas salah satu hos, Amerika Syarikat, telah menyerang negara teluk itu sehingga membunuh pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.

“Memandangkan rejim yang korup ini telah membunuh pemimpin kita, dalam apa jua keadaan sekalipun kita tak boleh menyertai Piala Dunnia,” katanya kepada stesen televisyen negara berkenaan seperti dipetika daripada Reuters.

“Anak-anak kita tidak selamat dan, pada asasnya, syarat untuk menyertai tidak wujud dalam keadaan seperti ini,” katanya lagi.

“Memandangkan tindakan berniat jahat yang telah mereka lakukan terhadap Iran, mereka telah memaksa dua peperangan ke atas kami dalam tempoh lapan atau sembilan bulan dan telah membunuh serta mensyahidkan ribuan rakyat kami. Oleh itu, sudah tentu kami tidak boleh menyertainya,” tambahnya.

Iran bimbingan Amir Ghalenoei telah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia FIFA – empat kali berturut-turut sejak edisi 2014.  

Mereka juga telah diundi dalam Kumpulan G bersama-sama New Zealand, Belgium dan Mesir serta akan beraksi di Stadium Los Angeles dan Stadium Seattle.

Reaksi daripada Menteri Sukan Iran ini hadir selepas Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memaklumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengalu-alukan kedatangan Iran untuk beraksi di Piala Dunia FIFA biarpun konflik peperangan berlaku melibatkan negara Uncle Sam dan Iran.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Iran belum memberikan sebarang komen terhadap penyertaannya dalam Piala Dunia FIFA setakat ini.

Featured Image: AFC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd