Turunkan Pemain Tak Layak, AFC Hukum Malaysia – Tolak 6 Mata

March 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan Malaysia berjulukan Harimau Malaya kini kehilangan enam mata daripada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC 2027 peringkat Kumpulan F.

Perkembangan itu hadir selepas badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC menghukum dengan mengisytiharkan Malaysia tewas 3-0 dalam perlawanan bertemu Nepal dan Vietnam pada 25 Mac dan 10 Jun masing-masing pada tahun lalu.

Malaysia dikenakan hukuman itu selepas Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC bermesyuarat pada hari ini. Pengerusinya, Jahangir Bagliari memaklumkan mendapati FAM telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam kedua-dua perlawanan terbabit.

Baca: Malaysia Diisytihar Kalah 3-0 Bertemu Cape Verde, Singapura & Palestin – FIFA

Sebagai rekod, pada aksi bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Malaysia mencatatkan kemenangan 2-0 manakala ketika bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pula skuad bimbingan Peter Cklamovski merekodkan kemenangan 4-0.

Dalam pemakluman menerusi siaran media itu juga, FAM memaklumkan AFC turut mengenakan denda sebanyak AS$50,000 (~RM196,119).

“FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini.” tulis FAM dalam kenyataan media itu.

Dengan penolakan sebanyak enam mata ini, Malaysia kini mempunyai sembilan mata sahaja dan berada di tangga kedua Kumpulan F. Sementara itu, Vietnam pula menggungguli Kumpulan F dengan 15 mata sekaligus menghanguskan peluang untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2027 di Arab Saudi.

Featured Image: AFC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd