Penurunan Ranking Malaysia, Dr. Taufiq Seru Ambil Iktibar
Hafiz Omar

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari mengajak semua pihak agar mengambil iktibar terhadap penurunan skuad bola sepak kebangsaan dalam Ranking Dunia serta kontroversi yang melanda sejak beberapa bulan lalu.
Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia yang berada di kedudukan ke-121 dunia sebelum ini terperosok ke tangga ke-135 dunia selepas jatuh sebanyak 14 anak tangga.
Kejatuhan itu susulan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membatalkan dua kemenangan Malaysia ketika bertemu Nepal dan Vietnam dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC 2027.
Hukuman itu dikenakan ke atas Malaysia susulan menurunkan pemain naturalisasi yang tidak layak dalam kedua-dua perlawanan terbabit.
“Saya turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan berhubung penurunan ranking ini, serta kontroversi yang melanda skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu.”
“Semua pihak harus mengambil iktibar daripada perkara ini dan pemerkasaan bola sepak tanah air perlu terus diperhebat. Saya berharap langkah-langkah wajar akan diambil agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi di masa akan datang.” katanya menerusi satu kenyataan yang diedarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada hari ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani menekankan pendirian pihaknya untuk tidak mencampur tangan dalam pengurusan badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tambahnya, KBS akan terus mengutamakan peranan memperkasa dan membangunkan bakat bola sepak tempatan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bersama-sama FAM selaku rakan strategik.
Namun begitu, pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak FAM untuk mendapatkan maklum balas tentang strategi mereka bagi mengelakkan kejatuhan ranking yang berterusan.
“Saya berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada FAM, dengan bantuan AFC, untuk mengenalpasti dan seterusnya melaksanakan reformasi dalaman yang perlu, serta mengadakan kongres bagi memilih barisan kepimpinannya yang baharu.” ujarnya.
Featured Image: Kementerian Belia dan Sukan