Zidane Setuju Kemudi Perancis Selepas Piala Dunia 2026

March 24, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bekas maestro skuad kebangsaan Perancis, Zinedine Zidane akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pasukan negaranya daripada Didier Deschamps.

Zidane, 53 tahun, yang pernah membimbing Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL) tiga kali berturut-turut itu akan mula membimbing Perancis pada musim panas kelak – selepas Piala Dunia FIFA 2026.

Perkembangan itu hadir selepas Zidane dan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) telah mencapai persetujuan secara lisan untuk mengambil alih tugas itu, lapor ESPN.

Zidane yang pernah merangkul trofi Piala Dunia dan EURO pada tahun 1998 dan 2000 masing-masing ketika bergelar pemain telah lama dikaitkan untuk mengemudi skuad kebangsaan negara kelahirannya.

Namun beliau terpaksa menunggu Deschamps, rakan sepasukannya semasa beraksi bersama Les Bleus, yang membimbing Perancis sejak tahun 2012 untuk mengangkat kaki.

Dalam tempoh 14 tahun itu, Deschamps melakukan tugasnya dengan cemerlang – menghadiahkan Perancis gelaran Piala Dunia pada tahun 2018 selain mara ke perlawanan akhir pada tahun 2022 serta muncul naib juara EURO 2016.

Featured Image: Instagram Zidane

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd