Ranking BWF: Zii Jia Naik 6 Anak Tangga
Hafiz Omar

Biarpun gagal melangkah ke babak undian utama di Masters Orleans 2026 pada minggu lalu, bekas perseorangan lelaki No.1 negara iaitu Lee Zii Jia tetap mencatatkan peningkatan yang ketara dalam Ranking Dunia.
Kemaskini yang dilakukan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu melonjak sebanyak enam anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-80 dunia, minggu ini.
Lonjakan itu dicetuskan oleh pertambahan sebanyak 660 mata hasil melakar kemenangan ke atas Sankar Subramanian dari Indian pada pusingan 16 peringkat kelayakan menerusi skor 21-12 dan 21-18.
Bagaimanapun, hajatnya untuk melangkah ke babak undian utama dipatahkan oleh pemain China, Dong Tian Yao pada pusingan berikutnya susulan tewas dengan skor 18-21 dan 14-21.
Setakat ini, Zii Jia telah mengumpul 21,770 mata secara keseluruhan dengan enam daripadanya disumbangkan daripada penyertaan kejohanan sepanjang tahun ini.
Sementara itu, kemaskini oleh BWF itu memperlihatkan Leong Jun Hao kekal sebagai perseorangan lelaki No.1 Malaysia dengan menghuni ranking ke-23 dunia.
Manakala Justin Hoh pula sebagai perseorangan lelaki No.2 Malaysia di tangga ke-40 dunia diikuti oleh Aidil Sholeh di tangga ke-52 dunia.
Featured Image: OCM