Griezmann Berhijrah Ke Amerika Syarikat – Kontrak 2+1
Hafiz Omar

Pemenang Piala Dunia FIFA 2018 bersama Perancis, Antoine Griezmann diumumkan secara rasmi sebagai bakal pemain baharu kelab yang berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Orlando City SC.
Pengumuman penyertaan penyerang berusia 35 tahun itu dilakukan oleh Orlando City menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi dan muat naik foto-foto serta pemakluman di pelbagai akaun media sosialnya, pada Selasa.
Dimaklumkan, Griezmann telah menandatangani kontrak yang mengikatnya dengan Orlando City bermula Julai 2026 sehingga berakhirnya musim 2027-28 berserta pilihan lanjutan selama setahun sehingga penghujung musim 2028-29.
Selain itu, Khidmat Griezmann akan didaftarkan oleh skuad berjulukan Lions sebagai “Designated Player” apabila jendela perpindahan Liga Bola Sepak Utama (MLS) dibuka pada Julai kelak.
Penghijrahan Griezmann ke Orlando City tiba setelah menghabiskan 16 musim beraksi di Sepanyol bersama Real Sociedad, Atletico Madrid dan Barcelona.
Bersama tiga kelab berkenaan, Griezmann telah menjaringkan 298 gol serta mencetak 132 bantuan gol hasil daripada tampil sebanyak 792 kali dalam pelbagai kejohanan.
Sepanjang tempoh itu, Griezmann juga berhasil menjulang beberapa trofi kejohanan-kejohanan utama seperti Supercopa de Espana, Liga Europa, Piala Super UEFA dan Copa del Rey.
Featured Image: Orlando City SC