ACLE: JDT Bertemu Kelab Arab Saudi Atau Wakil Qatar Di Suku Akhir

March 25, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Wakil tunggal negara dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) akan menantikan cabaran samada daripada kelab Arab Saudi, Al Ahli Saudi FC atau wakil Qatar, Al Duhail SC pada peringkat suku akhir.

Pertemuan itu terhasil selepas penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melangsungkan sesi undian peringkat suku akhir ACLE bertempat di AFC House, Bukit Jalil pada hari ini.

Terdahulu, skuad berjulukan Harimau Selatan bimbingan Xisco Munoz melakar sejarah mara ke peringkat suku akhir buat julung kalinya dalam sejarah revolusi kelabnya selepas menumpaskan Sanfrecce Hiroshima 3-2 secara agregat pada pusingan 16.  

Al Ahli Saudi FC yang kini berada di tangga ketiga Liga Pro Saudi akan berentap dengan Al Duhail SC, penghuni tangga ketujuh Liga Bintang Qatar, pada pusingan 16 yang ditangguhkan kepada tarikh 13hb atau 14hb April kelak.

Perlawanan itu akan berlangsung di Arab Saudi dengan format kalah mati satu pusingan dan penangguhan itu berpunca daripada konflik peperangan yang sedang berlaku di Asia Barat.. 

Sementara itu, perlawanan suku akhir akan berlangsung dari 16hb hingga 18hb April, diikuti aksi separuh akhir pada 20hb dan 21hb April bertempat di Jeddah.

Manakala perlawanan akhir bagi menentukan bagi edisi kali ini pula dijadualkan berlangsung di Stadium King Abdullah Sports City pada 25hb April.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd