Vietnam Uji Senjata Baharu Sebelum Bertemu Malaysia

March 26, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Vietnam bimbingan Kim Sang-sik bakal menguji senjata baharunya di bahagian serangan ketika bertemu Bangladesh dalam perlawanan antarabangsa yang berlangsung pada malam ini.

Senjata itu adalah pemain naturalisasi baharunya, Do Hoang Hen atau nama asalnya, Hendrio Araujo da Silva yang mendapat kerakyatan Vietnam pada Oktober tahun lalu.

Sang-sik gembira dapat memanggil pemain berusia 31 tahun kelahiran Brazil itu menyertai kem latihan musim ini sambil memuji prestasi dalam kancah domestik musim ini.

Pada masa yang sama, jurulatih dari Republik Korea itu turut memanggil semula penyerang naturalisasinya yang menggondol anugerah penjaring terbanyak Piala ASEAN 2024, Nguyen Xuan Son.

Dijangka kedua-dua pemain ini akan digandingkan dalam kesebelasan utama untuk menilai keserasian masing-masing sebelum bertemu Malaysia pada aksi terakhir pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC 2027. 

Mengulas mengenai aksi bertemu Bangladesh, Sang-sik dilihat menjadikan perlawanan ini sebagai aksi pemanas namun tetap menuntut anak-anak buahnya untuk mencetak kemenangan sekaligus menaikkan semangat dan motivasi sebelum bertemu Malaysia.

“Kami melihat video mereka dan mengkaji gaya permainan mereka untuk mencari penyelesaian terbaik serta mengelakkan sebarang kejutan luar jangkaan,” katanya dalam sidang media praperlawanan pada Rabu.

“Sasaran kami adalah keputusan yang positif, sebolehnya meraih kemenangan, langkah yang stabil sebelum menghadapi perlawanan yang lebih penting selepasnya.” tambahnya.

Hoang Hen yang beraksi bersama Hanoi FC tampil cemerlang dalam kancah V.League 1 musim ini dengan merekodkan enam gol dan empat bantuan gol daripada 10 penampilan setakat ini.

Sementara itu, Xuan Son atau nama asalnya, Rafaelson yang kembali beraksi selepas kecederaan patah kaki ketika perlawanan akhir Piala ASEAN 2024 pula telah menjaringkan sembilan gol serta mencetak satu bantuan gol daripada 11 penampilan bersama Thep Xanh Nam Dinh FC musim ini.

Featured Image: VFF

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd