Cabaran Antarabangsa Vietnam: V Shem-Sol Gyu Kandas Di Pusingan 16
Hafiz Omar

Gandingan pemain Malaysia dan Republik Korea, Goh V Shem dan Choi Sol Gyu terpaksa akur terkandas setakat pusingan 16 di Cabaran Antarabangsa Vietnam 2026 biarpun turun dengan status pilihan pertama kejohanan.
Lebih mendukacitakan gandingan pemain berusia 36 dan 30 tahun masing-masing itu tewas kepada pasangan India tanpa sebarang ranking, Krishna Prasad Garaga dan Pruthvi Krishnamurthy Roy.
Dalam pertarungan itu, V Shem-Sol Gyu mengalami kekalahan dua set berturut-turut menerusi skor 15-21 dan 19-21 selepas berentap di atas gelanggang selama 41 minit.
Sebagai rekod, kekalahan V Shem-Sol Gyu di tangan Prasad-Pruthvi terukir pada pertemuan sulung di kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, Prasad-Pruthvi yang mencetak kemenangan dan melangkah ke peringkat suku akhir akan bertemu dengan beregu Thailand, Narut Saengkham dan Apichasit Teerawiwat untuk merebut slot separuh akhir.