Cabaran Antarabangsa Vietnam: Kisona Jejak Pentas Separuh Akhir
Hafiz Omar

Perseorangan wanita negara yang menghuni ranking ke-87 dunia, Kisona Selvaduray berhasil menjejaki pentas separuh akhir Cabaran Antarabangsa Vietnam 2026 selepas mengetepikan lawannya, Peng Yu Wei, sebentar tadi.
Pertemuan Kisona dan Yu Wei di peringkat suku akhir itu berkesudahan dengan pemain berusia 27 tahun berkenaan melakar kemenangan bergaya menerusi skor 21-15 dan 21-17 dalam masa 35 minit.
Kemenangan itu sekaligus menemukannya dengan pilihan kedua kejohanan dari India, Rakshitha Sree Santhosh Ramraj untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.
Rakshitha yang menduduki tangga ke-55 dunia melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan wakil Chinese Taipei, Liang Ting Yu menerusi skor 21-12, 20-22 dan 21-19.
Pada tahun lalu, Kisona pernah berhadapan dengan pemain yang lahir pada tahun 2007 ini. Ianya berlangsung sengit dan Kisona terpaksa akur tewas selepas bertarung tiga set permainan menerusi skor 20-22, 5-21 dan 23-25 dalam masa 68 minit.
Featured Image: BAM